Tempat menarik Tampin

Dataran Tampin

Dataran ini terletak berhampiran dengan Kompleks Sukan Tampin dan menjadi salah sebuah lokasi tumpuan penduduk untuk melakukan aktiviti riadah pada hari biasa dan hujung minggu. Antara kemudahan yang ada ialah taman permainan kanak-kanak yang serba lengkap, trek berjogging, alatan senaman, objek-objek mercu tanda yang menarik dan pentas terbuka.[10]

Taman Tasik Tampin

Taman Tasik Tampin terletak kira-kira 400 meter dari hentian sebelah Tampin. Dilengkapi dengan alatan permainan kanak-kanak, menara pandang jauh, wakaf, kerusi rehat dan trek berjogging. Antara lokasi yang boleh menjadi pilihan anda untuk beriadah bersama keluarga. Selain itu, gerai-gerai makanan juga terletak berdekatan dengan taman ini.[11]

Taman Rekreasi Tampin

Kedudukan lokasi taman ini begitu strategik iaitu terletak berdekatan dengan Hospital Daerah Tampin, Rumah Rehat Tampin dan juga Kompleks Sukan Tampin. Keluasan kawasan Taman Rekreasi Tampin ini keseluruhannya berjumlah 9 ekar dimana 0.8 ekar adalah kawasan tasik sedia ada. Selain kehijauan alam semulajadinya, taman rekreasi ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti alat permainan kanak-kanak, gelanggang badminton, gelanggang tenis dan trek berjoging yang panjang. Kedudukannya yang strategik memberi peluang kepada orang ramai untuk mengunjunginya sambil beristirahat bersama keluarga.[12]

Gunung Tampin

Gunung Tampin merupakan pengakhiran kepada Banjaran Titiwangsa dari segi geografi. Beberapa kolam telah didirikan diatas gunung ini bagi membolehkan para pengunjung menikmati kejernihan air yang masih terpelihara ini. Walau bagaimanapun, kolam-kolam ini akan dinaiktaraf tidak lama lagi bagi memberikan keselesaan dan kepuasan serta imej yang lebih baik dengan konsep yang lebih moden. Laluan sedia ada ke puncak gunung dengan jarak kira-kira 5 km ini juga sering dijadikan trek berjogging dan beriadah oleh orang ramai pada sebelah petang dan cuti hujung minggu.[13]

Hentian Sebelah Tampin

Hentian Sebelah Tampin merupakan kawasan hentian berkonsepkan Rawat Dan Rehat (R&R). Terletak di pintu masuk utama ke daerah ini daripada utara semestinya lokasi yang strategik bagi membolehkan anda berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan. Antara kemudahan yang terdapat disini ialah gerai makanan, surau dan taman permainan kanak-kanak. Terletak di kaki Gunung Tampin.[14]

Stesen keretapi Gemas

Stesen keretapi Gemas merupakan sebuah stesen kereta api yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan, Malaysia. Di sini bertembungnya laluan pantai timur, selatan dan ke utara. Namun, pada tahun 2012, stesen tersebut ditinggalkan kerana dibina sebuah stesen baru dan nampak lebih berkualiti.[15]